Sunday 13 November 2011

Dr. Rozmey sara 3 anak Basarah


ALOR SETAR 12 Nov. – Nasib tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu dalam nahas di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang, Perak semalam mendapat perhatian seorang pengusaha produk kesihatan terkenal negara ini.

Muhd. Iqmal Roslan, 16 dan dua adiknya Muhd. Kamil Rizman, 14; dan Muhd. Kamil Radzuan, 13, akan dijadikan anak angkat oleh Presiden dR. Rozmey Group, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din.

Usahawan terkenal itu berkata, beliau sedia menanggung perbelanjaan sara hidup bulanan termasuk perbelanjaan sekolah tiga beradik itu kerana simpati dengan nasib yang menimpa mereka.

Katanya, beliau akan memikirkan cara terbaik untuk membantu tiga beradik tersebut bagi memastikan kehidupan mereka sebagai seorang pelajar terjaga dengan baik.

“Dengan bantuan kewangan ini, saya minta tiga beradik ini tidak perlu susah hati tentang perbelanjaan harian mahupun sekolah kerana saya akan tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berkunjung ke rumah bapa saudara kepada tiga beradik tersebut, Abdullah Hassan, 66, di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Ibu mereka, Basarah Saad, 45, yang merupakan Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Tajar di sini maut akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan yang meragut empat nyawa itu.

Bapa mereka, Roslan Bukhari meninggal dunia lima tahun lalu akibat sakit buah pinggang.

Che Rozmey berkata, bagi menjamin urusan ketiga-tiga anak yatim piatu itu terjaga, mereka disarankan tinggal di asrama sekolah.


Sumber : Utusan

Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?


ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.

"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.

Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.


sumber : utusan

Tuesday 1 November 2011

Bukan Saya Tetapi Allah


alt

Dari jauh, komuter biru kuning yang tertera destinasi 'Batu Caves' bergerak perlahan melewati stesen Shah Alam. Siren berbunyi, pintu pinkdibuka, dan saya melangkah masuk. Mata melilau mencari kerusi kosong.

Alhamdulillah. Kelihatan di hujung masih berbaki satu yang kosong. Berdekatan seorang kakak Indonesia dan anak kecilnya. Keadaan tenang, namun ada satu suara yang mampu mengganggu ketenteraman telinga.

uwaaaaaaaaa.... uwaaaaaaaaa.. uwaaaaaaaaaaaa.

Anak kecil berdekatan saya itu menangis, minta dilepaskan, ingin dilepas bebas.

Sangkaan saya, 'budak baru dapat kaki, biasalah.'

Anak itu mula berjalan dan semua mata pastinya tidak lepas memandang anak kecil dalam lingkungan setahun itu. Dia kelihatan gembira berjalan-jalan di atas train yang bergerak, walaupun riak cemas jelas terpancar di raut wajah ibunya.

Anaknya melangkah semakin jauh dan si ibu pantas bangun dan mendapatnya kembali. Namun belum pantas ibunya ke tempat duduk asal,

anak itu kembali menangis, malahan lebih kuat lagi.

uwaaaaaa....uwaaaaaaa...

Kali ini lebih kepada meraung. Jelas terpancar ketidak senangan penumpang lain. Ada yang muka berkerut, ada yang buat tidak kisah,

tetapi yang paling ketara, amoi berbangsa Cina sempat mengeluh sebelum keluar di stesennya.

"ayyyyaaaaaaaa........."

Jelas mahukan semua penumpang tahu ketidak selesaannya dengan tangisan adik kecil yang tidak berhenti.

Saya ketika itu hanya mampu memandang. Bukan salah amoy itu dan bukan juga salah anak kecil itu. Simpati dengan ibunya. Pelbagai andaian timbul.

Lapar mungkin atau pampers basah?

Atau keadaan train yang tidak berhawa dingin merimaskan dia?

Tetapi saya hanya berfikir sendiri, di dalam hati. Takut untuk bersuara. Siapalah saya, remaja yang masih belum berpengalaman dalam urusan rumah tangga.

Stesen demi stesen, tangisan anak kecil seakan tidak ada tanda untuk berhenti.

Ibunya semakin resah, sekejap bangun, sekejap duduk, sekejap dibaringkan anak itu, sekejap diusapnya dan sekejap dipeluknya. Tetapi usahanya seakan menemui titik buntu.

Penumpang lain juga turut simpati, ada yang meng'offer'kan diri untuk memujuk, menolong untuk mengendong, mengumpan baby dengan anak kunci, penyepit rambut dan botol air, namun semua itu ditolak mentah-mentah.

Ada yang mengeluarkan fail untuk mengipas, menyejukkan anak kecil dan juga ibunya. Ada yang mencadangkan untuk diberikan botol susu,

dan anak itu pantas diberikan botol susu berisi air mineral.

'Ooohhhh. Dahaga rupanya.'

Semua orang menarik nafas lega. Anak kecil itu terus sahaja diam. Meminum dengan rakusnya. Disangkanya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

uwaaaaaa... uwaaaaaa...uwaaaaa....

Sebaik habis air mineral, baby itu kembali aktif menangis. Malah lebih kuat lagi. Saya rasakan budak kecil itu 'all out' melepaskan suaranya, kasihan lagi.

Naluri saya terdetik. Saya mula tidak senang duduk. Saya kasihan melihat ibunya. Saya kasihan dengan anak kecil itu. Dalam kepala saya ada satu cara, hanya ini.

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya memberanikan diri mensuakan tangan ke atas kepala anak itu, mengusap perlahan.

"Laila..haillallah... Laila...haa..illallah.....Laila..haillallah..."

Sebaik saja saya mengalunkan zikir, anak kecil itu terus, automatik diam!

Apa maksudnya?

'Tidak ada Tuhan melainkan Allah.'

Anak itu diam, langsung tidak merengek satu apa pun. Dalam erti kata lain, anak itu membenarkan. Tunduk dan patuh.

'Lailahaillallah.'

Jelas Allah S.W.T mahu membuktikan sesuatu, kita semua ini datangnya dari Allah S.W.T. Allah S.W.T itu Tuhan kita. Rabb kita. Islam ini agama yang benar!

Subhanallah! Hebatnya Allah S.W.T.

Berbalik kepada cerita. Ada getaran pada setiap bait zikir saya. Jujur, saya terketar. Saya dapat rasakan, mata-mata penumpang di koc berwarna merah jambu semuanya tertumpu pada saya.

Pastinya ada yang bercakap tentang saya kerana dalam train itu, bukan hanya muslim, malahan kakak yang menolong untuk mengipas anak kecil itu adalah dari bangsa India.

Namun saya tidak peduli lagi. Mudah-mudahan ada hati-hati yang tersentuh.

Insya-Allah.

Anak kecil itu memandang saya. Lama. Saya masih tidak berhenti berzikir. Setelah anak itu menunjukkan respon positif, saya kembali ke tempat asal.

Jam ditoleh menunjukkan 7.00 petang. Waktu waktu senja seperti ini, banyak syaitan yang berkeliaran, bertempiaran. Mungkin ini salah satu sebabnya anak itu tidak henti-henti menangis. Ubatnya, hanya satu. Kembali kepada Allah S.W.T.

Beberapa minit kemudian, (stesen berikutnya..KL Sentral..KL Sentral).

Kedengaran suara pengumuman yang direkod. Ibu anak kecil itu mula mengemas-ngemas, bersiap untuk bangun. Sempat ibunya bertanya saya, ramah.

"Adik turun kat sini juga?"

"Belum kak."

"Terima kasih ya dik."

Kakak itu beredar bersama anaknya. Ketika train mula bergerak, dalam kegelapan malam, saya tahu, ada air jernih panas mula mengalir di pipi. Ibrahnya saya menaiki train hari itu!

Allahurobbi....

'Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang.' (Ar-Rad:28)

nota: 'akak, bukan saya yang mendiamkan anak akak, tetapi Allah S.W.T. saya hanya wakil Allah S.W.T sahaja.'

Glosari

1) Ibrah=Pengajaran/Iktibar

-Artikel iluvislam.com

Sumber Grafik: Google Image

Biodata Penulis

Nurul Iffah binti Ghazali Pelajar tahun akhir UiTM Shah Alam dalam jurusan perakaunan. Layari blog beliau di http://reminderformenyou.blogspot.com.


Sumber : I LUV ISLAM