Saturday, 29 October 2011

Gaddafi tidak wajar dibunuh

SHAH ALAM - Pembunuhan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tidak sewajarnya dilakukan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pihak berkenaan mempunyai kepentingan untuk berbuat demikian dan pada masa yang sama, media Barat melaporkan mengenai kekejaman didakwa dilakukannya.

“Saya sangsi dengan media itu kerana saya juga didakwa seorang diktator. Saya tahu semua ini tidak benar.

“Namun ia berjaya dilakukan terhadap Gaddafi kerana beliau tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan negara dan bangsanya,” katanya.

Mahathir berkata, Gaddafi seorang yang peramah dan suka bertanya mengenai negara kita.

“Saya percaya beliau mahu menjadikan negara ini contoh kepada Libya. Namun cita-cita Gaddafi tidak berjaya,” katanya.

Menurut Mahathir, ramai tidak tahu Gaddafi mempunyai perancangan untuk memajukan Libya. Beliau memulakan projek pengairan di kawasan pantai dan membina sungai.

Katanya, kontraktor dari Korea telah membina saluran paip untuk memberi kemudahan kepada petani dan peladang di kawasan pedalaman.

Namun, kata Mahathir, Gaddafi hidup dalam ketaku-tan apabila Barat cuba membunuh karier politiknya sehingga terpaksa bertemu dengan pelawat di dalam khemah yang dikelilingi tembok.

“Saya dan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) pernah makan tengah hari bersamanya di tempat yang mewah, tetapi bukan di dalam istana,” katanya.

Sambil menyifatkan perkara ini sepatutnya tidak berlaku, kata Mahathir, “Saya sedih dengan apa yang dilakukan oleh negara demokrasi bertamadun (terhadap Gaddafi).”

Katanya, Gaddafi sepatutnya ditahan dan dibicarakan ke atas kesalahan dilakukan terlebih dahulu, bukan dibunuh.

“Saya berdoa dan berharap Libya akan mendapat kerajaan yang baik dan pemimpin yang benar-benar boleh menerajui Libya selepas kematian Gaddafi melalui sistem pilihan raya yang bersih.

“Dan mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin pula perlu bersedia untuk kalah dalam pilihan raya itu nanti,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Thursday, 27 October 2011

Kenangan pilu

DI SINI...Azman menunjukkan lokasi kejadian meragut nyawa anaknya. Gambar kecil, Nurshuhada maut.
DI SINI...Azman menunjukkan lokasi kejadian meragut nyawa anaknya. Gambar kecil, Nurshuhada maut.

JERANTUT: “Tiada siapa menjangka pokok kelapa itu akan tumbang kerana ketika itu cuaca elok. Lebih memilukan, kejadian disaksikan ramai ahli keluarga,” kata Azman Zainuddin, 41, bapa Nurshuhada yang maut dihempap pokok kelapa di depan rumahnya di Kampung Bukit Lada, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Selasa lalu, kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut (HJ) di sini.

“Sehari sebelum kejadian anak saya begitu ceria dan banyak bercakap sambil menunggang basikal dalam rumah. Walaupun masih kecil, dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan mahu menjaga saya bila tua nanti,” kata Azman mengimbas kenangan terakhir bersama anaknya.

Azman berkata, ketika kejadian Nurshuhada bermain di halaman kira-kira dua meter dari tangga depan rumah apabila sebatang pokok kelapa setinggi 15 meter tiba-tiba tumbang dan menghempapnya, dipercayai kerana akar pokok itu reput.


“Sebelum turun ke halaman, Nurshuhada duduk di tangga bersama lima lagi adik-beradiknya manakala isteri saya berurusan dengan pembekal makanan ikan untuk projek ternakan ikan sangkar yang saya usahakan.


sumber : mymetro

Thursday, 20 October 2011

Pendaftaran isi rumah bawah RM3,000, Disember ini

KANGAR - Pendaftaran isi rumah yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 bagi melayakkan mereka menerima bantuan RM500 melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dijadualkan bermula Disember ini.

Pengerusi LHDN Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, buat masa ini Kementerian Kewangan serta agensi kerajaan berkaitan sedang memuktamadkan mekanisme terbaik bagi pendaftaran dan pelaksanaan bantuan itu.

"LHDN perlu memastikan segala keperluan sistem, peralatan dan tenaga kerja yang mencukupi disiapkan selewatnya pertengahan November ini bagi membolehkan pendaftaran bermula pada Disember,” katanya kepada media selepas perasmian Wisma Hasil Kangar, di sini hari ini.

Wan Abdul Aziz berkata, sebanyak 3.4 juta isi rumah dijangka didaftarkan dan mereka dijadual menerima bantuan tersebut yang membabitkan peruntukan RM1.8 bilion bermula Januari depan. - Bernama


Sumber : Sinar Harian

Tuesday, 18 October 2011

Laut bergelora berubah tenang


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERTIB...kakitangan Jabatan Mufti  Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil, Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah abu untuk dilupuskan.
TERTIB...kakitangan Jabatan Mufti Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil, Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah abu untuk dilupuskan.

LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.

Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.


Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.

Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.


Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.


Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.

Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.


Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.

Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran, berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga dibenarkan.


“Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan lalu.

Sumber : Metro

Kad kredit palsu serendah RM15


TAJUDIN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Keghairahan seorang pemilik perniagaan percetakan dan seorang pekerjanya mencetak kad-kad kredit palsu bagi kegunaan sindiket antarabangsa berakhir dengan mereka ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Bandar Puteri, Pelabuhan Klang di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, polis turut merampas 3,246 keping kad kredit palsu yang siap diproses. Turut dirampas beberapa mesin atau alat yang digunakan untuk memproses kad kredit.

Sindiket tersebut antara lain memalsukan kad-kad kredit milik City Bank, HSBC Bank, Standard Chartered Bank, American Express, Hua Nan Comercial Bank, China Merchants Bank, Axis Bank dan The Royal Bank of Scotland.

Jumlah semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, dua suspek berusia 44 dan 21 tahun itu menyembunyikan kegiatan mereka dengan berselindung di sebalik syarikat percetakan yang diusahakan secara sah.

Syarikat percetakan itu telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Syarikat itu mencetak pelbagai jenis kad seperti kad keahlian kelab, kad institusi pengajian tinggi dan kad-kad syarikat.

“Namun kerana tamak untuk mendapat untung lebih, tauke syarikat dan seorang pekerjanya turut mengambil tempahan untuk memproses kad-kad kredit palsu,” kata beliau sambil memberitahu kegiatan salah itu dipercayai baru beroperasi lima bulan lalu.

Bercerita mengenai modus operandi dua suspek itu, Tajudin berkata, suspek dipercayai menerima tempahan daripada ahli sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang menyertakan jenis-jenis kad kredit palsu yang dikehendaki.

Kebanyakan ahli sindiket itu membabitkan warga asing.

“Setiap kad kredit yang siap diproses dijual pada harga serendah RM15 sekeping dan kualiti pada setiap kad menyerupai kad-kad kredit tulen,” kata beliau.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Sumber : KOSMO


Kunjungan Perdana Menteri Ke Restoran Rakyat 1 Malaysia

image

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluangkan masa bersama rakyat di Restoran Rakyat 1 Malaysia

Medan Tuanku 18 Oktober 2011. Hari ini seluruh warga Koperasi Ukhwah dan Kumpulan KOOP serta komuniti Medan Tuanku berbesar hati kerana Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluangkan masanya untuk makan tengah hari bersama rakyat di Restoran Rakyat 1 Malaysia milik Koperasi Ukhwah.

Dalam lawatan tidak rasmi ini, YAB Perdana Menteri tiba di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari. Kedatangan beliau disambut oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan serta Timbalan Menteri, YB Tan Lian Hoe, Pengarah Eksekutif ANGKASA, Y.Bhg Datuk Dr. Mohd Ali Baharum, Pengarah SKM Wilayah, Tn. Hj. Abdullah Bin Mahmood, YDP Ukhwah Y.Bhg Datuk Rahim Baba serta Pengerusi Koperasi Ukhwah Y.Bhg Dato’ Seri Hj. Mustapa Kamal maulut serta ramai lagi VIP-VIP yang hadir.

Kira-kira 40 minit YAB Perdana Menteri meluaangkan masanya bersama rakyat. Sebelum pulang, beliau sempat berkunjung ke Charity Shop yang terletak di sebelah pejabat hartanah Ukhwah untuk meninjau suasana dan keadaan kedai berkenaan.


Sumber : Koperasi Ukhwah

Sunday, 16 October 2011

Ubat bertukar racun

PENGGUNA perlu merujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan


DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.

Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.

Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.

Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).

Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.

Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan.

“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.

“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.

Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.

“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.

“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.


JANGAN berhenti mengambil ubat-ubatan moden walaupun serasi dengan ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan


Pakar

Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif.

“Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat.

“Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan positif,” katanya.

Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan.

“Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan moden.

“Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang,” katanya.

Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.

“Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar,” katanya.

Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional.

“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut.

“Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.

“Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar.

“Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan,” katanya


Sumber : Kosmo